Sunday, September 21, 2014

Geganti Kerosakan Bumi Terhad Aka Restricted Earth Fault (REF) Relay

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum..

Geganti Kerosakan Bumi Terhad (Restricted Earth Fault relay, REF) digunakan sebagai perlindungan utama selain geganti Perbezaan bagi melindungi alatubah dari kerosakan ke bumi dalam belitan HV (HV winding) atau belitan LV (LV winding). Setiap belitan HV dan LV mempunyai geganti REF setiap satu. Geganti ini tidak dapat mengesan kerosakan fasa ke fasa atau kerosakan 3 fasa (tanpa menyentuh bumi) kerana sempadan perlindungannya ialah dari pengubah arus sebelah primer (primary / HV) sehingga pengubah arus yang dipasang pada neutral primer / HV bagi belitan sebelah primer / HV manakala bagi belitan sebelah sekunder / LV, sempadan perlindungannya ialah dari pengubah arus sekunder / LV sehingga pengubah arus yang dipasang pada neutral sekunder / LV. Geganti ini dapat digunakan untuk melindungi alatubah jenis Y-Y mahupun Y-Delta di mana bagi alatubah Y-Delta, alatubah Zig-Zag akan disambung pada sebelah belitan sekunder / LV supaya sambungan neutral dapat disediakan untuk arus pulang (return current) dan juga untuk sambungan alatubah pada neutral sekunder / LV. 

Rajah 1 menunjukkan operasi geganti kerosakan bumi terhad. Apabila berlaku kerosakan ke bumi samada dalam belitan primer / HV atau belitan sekunder / LV, tiada arus yang akan mengalir melalui salah satu pengubah arus (masukan kepada geganti REF) menyebabkan terdapat arus baki yang mengalir masuk ke dalam geganti REF di mana arus ini melebihi nilai tatahan arus (setting / pick up current). Geganti seterusnya akan menghantar isyarat kepada geganti pelantikan (Master Trip relay) yang seterusnya akan menghantar isyarat pelantikan kepada kedua-dua pemutus litar iaitu sebelah primer / HV dan juga sebelah sekunder / LV. Tiada lengah masa pelantikan disebabkan geganti REF adalah perlindungan utama bagi alatubah selain geganti jenis Perbezaan (Differential relay). 

Operasi Geganti Kerosakan Bumi Terhad - restricted earth fault relay
Rajah 1: Operasi Geganti Kerosakan Bumi Terhad

Rajah 2 dan Rajah 3 menunjukkan operasi geganti REF bagi kerosakan luar zon (outzone) dan kerosakan dalam zon (inzone) masing-masing. Bagi kerosakan luar zon, geganti REF dalam keadaan stabil di mana tiada arus baki mengalir masuk ke dalam geganti REF selagi nilai arus kerosakan tersebut tidak melebihi gandaan arus (biasanya 15 kali muatan alatubah) seperti dalam pengiraan tatahan arus geganti dan juga nilai voltan titik lutut (knee point voltage) pengubah arus yang digunakan (biasanya ditatah nilai voltan merentasi geganti tidak melebihi separuh nilai voltan titik lutut). 

Rajah 2: Operasi geganti REF bagi kerosakan luar zon

Rajah 3: Operasi geganti REF bagi kerosakan dalam zon

"Segala ilmu adalah milik Allah, kita hanya diberi pinjam"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...